Jangan Membuat Sebarang Spekulasi Berhubung Siasatan Kes Kematian Adib – Muhyiddin Yassin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana ia telah menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat Malaysia yang menuntut agar pihak kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu ini.

Selain itu, terdapat segelintir netizen di media sosial yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu dilibatkan dengan kes ini. Pihak yang bertanggungjawab seperti PDRM dan Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan laporan tanpa prejudis mengikut S.O.P yang telah ditetapkan kepada mereka.

Pada awalnya, pendakwaan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas pertuduhan cubaan membunuh menyatakan bahawa Orang Kena Tuduh (OKT) akan ditawarkan dengan ikat jamin. Namun, selepas kematian Allahyarham Mohd Adib, kes pertuduhan dipindahkan dari Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu dari cubaan membunuh kepada membunuh.

Dalam hal ini, ada sesetengah perkara yang rakyat perlu tahu bahawa beberapa prosedur harus dilalui bagi menjalankan pendakwaan. Ini kerana, pihak Peguam Negara perlu menunggu sehingga laporan kematian Adib selesai dan diserahkan kepada pihak mahkamah. Pihak mahkamah hanya boleh mengambil langkah seterusnya apabila laporan kematian Adib telah selesai diteliti. Sekiranya pihak pendakwaan tidak mempunyai alibi yang kukuh maka pihak mahkamah tidak boleh mengeluarkan waran dan pihak berkuasa tidak boleh membuat tangkapan.

Oleh itu, rakyat dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan komen negatif di laman sosial yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa. Rakyat perlu bertenang dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta tidak mendesak pihak berwajib dengan melakukan sebarang provokasi dan membuat sebarang perhimpunan yang boleh menggugat keamanan negara. Sebagai rakyat Malaysia, kehidupan di negara ini sentiasa berlandaskan undang-undang dan kita perlu berpegang kepada salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang.

Facebook Comments
Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.